Tuesday, May 15, 2012

Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha, Kupang, Baling, Kedah Darulaman – Pengasas Madrasah Khairiyyah Merupakan Tuan Guru Yg di Geruni Komunis (1906-1959)



Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha, Kupang, Baling, Kedah Darulaman – Pengasas Madrasah Khairiyyah (kini di kenali sebagai Yayasan Khairiyyah), Tuan Guru Yang di Geruni Komunis.

Kelahiran: Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha bin Idris (Mat Aris) di lahirkan di Kampung Pisang, Kupang, Baling Kedah, Darulaman pada tahun 1906M. Datuk beliau, Idris berasal dari Fathani.

Ibunya adalah Hajjah Hajar binti Haji ‘Abdullah bin Tok Samad, Kampung Pisang, Kupang. Keluarga sebelah ibunya juga berasal dari Fathani dimana sewaktu awal kedatangan mereka ke Kedah, mereka menumpang di rumah Tok Basyir [1] dan di rumah Tok Mat Din. Kedua-duanya muhajir dari Fathani yang berpindah ke Kedah.











Pendidikan: Tuan Guru Haji Yahya mendapat pendidikan awal membaca al-Quran dirumah saudara seibunya, Awang Besar bin Saman (beliau adalah ayah kepada Tuan Guru Haji Yahya @ Ilyas. Belajar di Mekah selama selama 16 tahun dan terkenal ‘alim di dalam ilmu fiqah dan faraidh). Kemudian berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Awang Besar bin Tok Mat Din [2], Kampung Jerai. Kemudian beliau memasuki sekolah Melayu Sik sehingga darjah 3 (darjah tertinggi ketika itu). Sewaktu di Sik beliau tinggal di pondok Tuan Guru Haji Ya’kub ‘Abdurrahman [3], Kampung Kemelung, Sik. Di pondok inilah Haji Yahya menadah kitab dibawah asuhan Tuan Guru Haji Ya’kub ‘Abdurrahman. Setelah 6 tahun memondok, beliau belayar bersama ibu dan saudaranya Awang Besar ke Mekah iaitu pada tahun 1923M. Beliau bermukim di Mekah selama 12 tahun. Antara guru-guru beliau di Mekah:
  • Pak Cik Daud (Tuan Guru Haji Wan Daud bin Wan Musthafa al-Fathani). Ayah saudara kepada Pak Da El, Pak Chu Him dan Syaikh Wan Ahmad al-Fathani.
  • Tuan Guru Haji Yahya Raman al-Fathani (Cher Pak Ya al-Ramani) – menantu Tok Yaman al-Fathani
  • Syaikh Nur bin Syaikh Nik Mat Kecik (Syaikh Nur Raman)
  • Syaikh wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani atau Pak Da ‘El
  • Syaikh Mukhtar ‘Atarid Bogor
  • Syaikh Ahmad Ahyad Idris Bogor (menantu Syaikd Mukhtar ‘Atarid)
  • Syaikh ‘Ali Maliki (ketua ulama fiqh 4 mazhab)
  • Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas al-Maliki al-Hasani
  • Syaikh Muhammad ‘Arabi
Teman sepengajiannya pula:
  • Tuan Guru Dato’ Haji ‘Abdurrahman Haji Abdullah, Merbok, Kedah
  • Tuan Guru Dato’ Haji Hussin Haji Sholeh, Lorong Makam, Langgar, Kedah
  • Tuan Guru Haji Awang Embun Haji Umar, Kampung Sadik, Kupang
  • Mufti Haji Muhammad Nor Ibrahim, Kelantan
  • Tuan Guru Haji Daud Said, Getting, Tumpat, Kelantan
  • Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman Arsyad, Dala, Fathani (Tok Dala)
  • Tuan Guru Haji ‘Abdullah Haji Wan Musa, Kubang Pasu Kota Bahru, Kelantan
  • Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Haji Ahmad Awang Besar, Kupang (Qadhi Besar Kedah)
  • Syaikh Muhammad Yasin bin Muhammad ‘Isa al-Fadani  








 Membuka pondok: Setelah 12 tahun dibawah lindungan Ka’bah, maka pada tahun 1936, Tuan Guru Haji Yahya kembali ke Tanah Melayu. Pada mulanya beliau mengajar dirumahnya pada sebelah malam dan pagi Jum’at. Memandangkan sambutan masyarakat yang meggalakkan, penduduk setempat mengambil inisiatif untuk mengadakan madrasah khas untuk beliau mengajar. Madrasah ini kemudian berkembang menjadi Pondok Kampung Pisang. Pondok ini terus berkembang sehingga pecah Perang Dunia ke-II. Dengan kedatangan Jepun madrasah ini terhenti buat seketika, namun pada pertengahan tahun 1943 ianya disambung semula. Bilangan pelajar bertambah sehingga terdapat kira-kira 500 buah pondok didirikan.

Sebelum tahun 1951, Madrasah Khairiyah ini menumpukan pengajian secara umumi tetapi setelah dipersetujui oleh Tuan Guru Haji Yahya, pengajian secara nizami di selah siang hari diperkenalkan dan digabungkan dengan pengajian secara umumi di sebelah malam harinya. Antara yang menjadi tenaga pengajar adalah Tuan Guru Haji Hasan Rasyid al-Makki (selaku Mudir),Dato’ Haji Zakaria Haji Ahmad Wan Besar, Haji Sulaiman Ibrahim Fahmi, Haji Badaruddin dan Haji ‘Abdurrahman Haji ‘Abdul Majid. Madrasah al-Khairiyah ditukarkan kepada nama Yayasan Khairiyah pada tahun 1971 ketika Ustaz Zawawi Haji ahmad Che Pi menjadi mudirnya.



Antara murid-murid beliau:-
  • Tuan Guru Haji Umar Zuhdi Haji Sholeh, Pondok Banggol Berangan, Lanai, Baling
  • Tuan Guru Haji Awang Embun Haji Umar, Kampung Sadik, Kupang
  • Ustaz Haji ‘Abdullah Awang Besar
  • Ustaz Haji Yusuf Ismail, Baling (bekas ahli Majlis Fatwa Tabung Haji). Beliau adalah khadam kepada Tuan Guru Haji Yahya
  • Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf, Batu 4, Jalan Yala, Betung
  • Tuan Haji Syahabuddin, bekas imam Masjid Baling
  • Ustaz Haji Sulaiman Ibrahim Fahmi, Mudir Yayasan Khairiyah
  • Ustaz Haji Yahya Awang Besar – anak saudara beliau dan merupakan Imam Masjid Kampung Tanjung, Kupang
  • Dato Haji Daud Che Ngah, bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji
  • Syaikh Haji Hasan Rasyid, Mudir Yayasan Khairiyah yang pertama
  • Tuan Guru Haji Wan Embun, Ijok, Perak
  • Ustaz Zawawi Haji Ahmad, bekas ADUN Kedah0.0.
  • Ustaz Haji Ismail Haji ‘Ali, Jempol, Negeri Sembilan. Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Sembilan 1998.
  • Syaikh Ahmad Zahari, Mekah
 
Karangan: Tiada maklumat yang menunjukkan Tuan Guru Haji Yahya meninggalkan sebarang karangan berupa tulisan. Yang pasti beliau meninggalkan kitab yang bergerak iaitu murid-murid beliau.
Kemasyarakatan:Sewaktu pemberontakan komunis - zaman darurat, iaitu itu setelah kekalahan tentera Jepun dan Inggeris kembali bertapak, berlaku bermacam keganasan, kekejaman terhadap rakyat oleh Kumpulan Bintang Tiga – Komunis. Pada ketika inilah Tuan Guru Haji Yahya dan murid-murinya memainkan peranan paling berjasa sampai dikenang sehingga kini oleh masyarakat Kupang, Baling iaitu menghalau komunis dari mengganggu masyarakat kampung.

Pada ketika pemberontakan komunis, Sekolah Melayu Kupang menjadi markas Bintang Tiga (Komunis) menjalankan aktiviti mereka mengganggu penduduk kampung. Tuan Guru Haji Yahya serta rakannya Pak Su Haji Ahmad telah mengetuai perarakan menghalau komunis tersebut dengan laungan kuat takbir (الله اكبر) dan tahlil (لاإله إلا الله) dan berhenti di Masjid Kupang yang bertentangan dengan markaz komunis. Di Masjid ini mereka bertakbir dan bertahlil dengan kuat sehingga menggerunkan pihak komunis dan akhirnya mereka melarikan diri. Dan keadaan kampung kembali tenang.

Kegiatan menghalau komunis ini bukan sahaja berlaku di Baling, tetapi Tuan Guru Haji Yahya juga dijemput untuk menghalau komunis di Kroh, Grik dan Batu Kurau, Perak. Inilah yang yang menjadi kelebihan pada diri Tuan Guru Haji Yahya. Sehinggakan masyarakat Cina tempatan pada awalnya tidak mempercayai Tuan Guru Haji Yahya sudah meninggal kerana mereka mendakwa masih melihat beliau dimana-mana. Dan memang tidak dinafikan bahwa Tuan Guru Haji Yahya ini dikurniakan karamah iaitu antaranya digeruni musuh. Perkara seumpama ini juga berlakau kepada tokoh-tokoh ulama yang lain seperti Tuan Guru Haji Wan ‘Abdus Shamad Pokok Sena dan Tuan Guru Haji Hussin Che Dol di dalam perisitwa Bukit Jenun.

Politik: Tuan Guru Haji Yahya juga bergiat di dalam politik iaitu di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS). Madrasahnya, Madrasah Khairiyah pernah menjadi tapak bagi penubuhan Dewan Ulama PAS Negeri Kedah dan beliau sendiri telah terpilih sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Kedah yang Pertama pada tahun 1953.

Keturunan: Tuan Guru Haji Yahya mula mendirikan rumahtangga pada tahun 1936 ketika menuntut di Mekah dengan Hajjah Wan ‘Aisyah binti Haji Mat , Kupang tetapi bercerai kemudiannya, tanpa meperolehi zuriat. Kemudian bernikah pula dengan ‘Aisyah binti Haji Awang Kechik, Kampung Pisang. Melalui perkahwinannya ini beliau dikurniakan 10 orang zurat. Seterusnya berpoligami, dengan menikahi Fathimah binti Haji Muhammad Zain, dan mendapat seorang anak. Setelah kematian Fathimah, Tuan Guru Haji Yahya mengahwini Hajjah Khadijah bin Haji Muhammad Zain, iaitu saudara kepada Fathimah (bersalin tikar) dan memperolehi 10 orang cahayamata. Melalui pernikahan Tuan Guru Haji Yahya dengan Hajjah Maimunah @ Munah bin Haji Muhammad Yasin [4], dan mendapat 6 orang cahayamata. Dan isteri Tuan Guru Haji Yahya yang terakhir adalah Hajjah Khadijah binti Jusuh dari Kelantan, dan mendapat seorang cahayamata. Jumlah anak Tuan Guru Haji Yahya kesemuanya adalah 28 orang.

Kewafatan: Tuan Guru Haji Yahya bin Muhammad Thaha menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 2 petang, Khamis 1959 dirumah isterinya Hajjah Maimunah. Jenazah beliau beliau di semadikan di tanah perkuburan Masjid al-Huda, Kampung Hangus, jam 11 pagi Jum’at. Al-Faatihah.


SEKIAN,
Catatan ini adalah merupakan ringkasan dari: Majalah Pengasuh Bil. 570 dibawah kolum Tokoh Ulama Semenanjung Melayu oleh Muhammad Rushdi ‘Abdul Malik al-Kalantani



NOTA KAKI


[1] – Beliau adalah datuk kepada Tuan Guru Haji Awang Embun Haji Umar dan merupakan moyang kepada Dato’ Syaikh ‘Abdul ‘Aziz (qadhi besar Kedah, beliau meninggal di dalam satu nahas kapalterbang di Bangkok sewaktu kembali daripada menunaikan haji, tahun 70an) dan Dato’ Haji Zakaria Haji Ahmad Wan Besar (ahli majlis fatwa kerajaan Negeri Kedah sehingga kini).

[2] Beliau adalah ayah kepada Dato’ Syaikh ‘Abdul ‘Aziz (qadhi besar Kedah) dan Dato’ Haji Zakaria (ahli majlis fatwa kerajaan Negeri Kedah), mertua kepada Tuan Guru Haji Ahmad Rusydi, Sidim, dan besan Tuan Guru Haji Hussien Che Dol. Beliau ahli dalam ilmu qiaraat yang 7.

[3] Tuan Guru Haji Ya’kub ini terkenal dengan nama ‘Haji Ya’kub Hitam’ kerana pada masa yang sama terdapat seorang lagi Haji Ya’kub yang menjadi qadhi Sik, yang dipanggil ‘Haji Ya’kub Putih’. Haji Ya’kub Hitam mendapat pendidikan di Mekah dan merupakan teman baik Tok Kenali. Pada awalnya tinggal di Pedu, kemudian di bawa oleh Haji Utsman, ketua kampung Kemelung untuk mengajar dan membuka pondok disana. Kemudian Haji Utsman diambil oleh Tuan Guru Haji Ya’kub sebagai menantunya. Salah seorang anak Haji Utsman adalah Tan Sri Dr. ‘Abdul Hamid Utsman (bekas menteri yang menjaga hal ehwal agama dan merupakan penasihat khas Perdana Menteri Malaysia)
[4] – Haji Muhammad Yasin berasal dari Negeri Sembilan. Beliau kemudiannya dikenali dengan Syaikh Muhammad Yasin. Mengahwini Hajjah Aminah, anak kepada Tuan Guru Haji Yak’kub Hitam, Kemelung, Sik. Beliau menetap dan meninggal di Mekah. Sebelum berangkat ke Mekah, beliau mengahwinkan anak gadisnya yang bernama Maimunah atau Munah kepada Tuan Guru Haji Yahya Kupang. Ketika itu Maimunah berusia kurang lebih 12 tahun.
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...