Wednesday, April 28, 2010

MEMBUANG DAN MEMUNGUTNYA




Walaupun artikel ini agak panjang, akan tetapi aku tetap ingin menyampaikannya sebagai pengajaran kepada kita.Kes pembuangan anak(bayi) merupakan isu yang sangat serius yang tidak boleh dianggap sebagai isu pinggiran. Ia adalah antara rentetan gejala sosial yang sangat membimbangkan.Adakah "2010" sebagai tahun "pengguguran anak luar nikah" ??

Berbagai cara dilakukan ke atas anak(bayi) yang tidak berdosa itu. Ada yang disimpan dalam kotak dan ditinggalkan di kawasan pelupusan sampah, ada yang diletakkan di kawasan kebun orang dalam keadaan dikerumuni oleh semut dan ada pula yang dihanyutkan ke sungai. Hasil tindakan kejam itu menyebabkan anak(bayi) tersebut terdedah kepada bahaya dan kematian.

Perbuatan orang yang tidak bertanggungjawab itu, bukan setakat sanggup membuang anak(bayi) atau langsung membunuhnya selepas dilahirkan, bahkan sebelum kanak-kanak itu dilahirkan pun ada berbagai percubaan yang dilakukan untuk membunuhnya, seperti menggugurkannya daripada kandungan.

ZAMAN JAHILIAH

Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab di zaman Jahiliah membunuh anak-anak perempuan mereka dengan menanam mereka hidup-hidup, kerana berasa malu beroleh anak perempuan. Hal ini ada diceritakan dalam Al-Qur’an melalui

firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: "Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan(kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya dan dia sangat marah. Dia menyembunyikan dirinya daripada orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah
buruknya apa yang mereka tetapkan itu."

(Surah An-Nahl: 58-59)

Tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ad-Darimi bahawa pada suatu hari seorang lelaki datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam menceritakan betapa dahsyat perbuatannya pada zaman jahiliah. Dia berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami ini pada zaman jahiliah adalah penyembah berhala dan menjadi pembunuh anak kami. Aku sendiri mempunyai seorang anak perempuan. Setelah dia menjadi gadis kecil, dia gembira dengan ajakanku apabila aku mengajaknya. Maka pada suatu hari aku mengajaknya dan dia menuruti aku. Lalu aku membawanya ke sebuah perigi kepunyaan kaum kami yang tidak begitu jauh dari kediaman kami. Kemudian aku membawanya ke pinggir perigi itu untuk melihat ke dalamnya. Setelah kepalanya terjulur ke dalam, terus aku angkat ke dua kakinya dan aku lemparkan dia ke dalam. Ketika aku meninggalkannya masih lagi kedengaran dia memanggil-manggil: "Ayah, ayah!."

Mendengar ceritanya itu dengan tidak disedari menitislah air mata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu berkata salah seorang yang berada dalam majlis itu: "Cukuplah, engkau telah membuat Rasulullah bersedih hati."
Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Biarkan dia, dia menceritakan hal itu kerana tekanan batinnya yang mendalam."

Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda pula kepada lelaki itu: "Teruskanlah ceritamu itu." Maka orang itu pun melanjutkan ceritanya dan Rasulullah pula terus menitiskan air mata hingga ke atas janggut Baginda. Kemudian Baginda bersabda kepada lelaki itu: "Sesungguhnya Allah telah menghapuskan dosa-dosa zaman jahiliah itu dengan masukmu ke dalam Islam. Mulakanlah penghidupanmu dengan membuat amalan yang baik."

Demikianlah perbuatan orang-orang Arab di zaman jahiliah, di mana mereka membunuh anak-anak perempuan mereka kerana takut menanggung malu.

PEMBUNUHAN ANAK(BAYI) DI ZAMAN SEKARANG

Jika kita lihat dan bandingkan antara perbuatan orang-orang Arab di zaman jahiliah dan zaman sekarang tidak banyak bezanya dalam percubaan membunuh anak(bayi). Akan tetapi di zaman sekarang ini lebih dahsyat lagi kerana orang yang membuang anak(bayi) itu tidak akan memilih apa pun jantinanya, sama ada anak itu lelaki atau perempuan. Pada kebiasaannya mereka akan meninggalkan anak(bayi) itu terbiar begitu sahaja. Berbanding dengan orang-orang zaman jahiliah di mana mereka membuang anak-anak perempuan mereka sahaja atau menanamnya hidup-hidup sehingga mati iaitu dikubur dan tidak dibiarkan. Perbuatan zaman sekarang ini nampak lebih zalim dan lebih jahat
lagi kerana memanjangkan tempoh penganiayaan dan penderitaan terhadap anak(bayi) berkenaan.

Sungguh pun zaman sekarang ini pengajian dan penerangan mengenai hukum-hakam Islam tersebar luas, ditambah lagi dengan suasana keIslaman yang wujud, tetapi gejala ini masih terjadi juga. Walaupun hanya seorang dua, tetapi cukup menyeramkan dan menyayat hati dan lain-lain perasaan yang tidak boleh digambarkan dan dilukiskan dengan kata-kata. Di manakah silapnya sehingga syiar Islam yang tersebar luas itu tidak membawa kesan apa-apa kepada mereka.

HUKUM PEMBUANGAN DAN PENGGUGURAN ANAK

Sejak mula janin berada di dalam kandungan ibu, Islam sudah melindunginya. Para ulama menegaskan bahawa pengguguran kandungan sesudah janin ditiupkan roh (diberi nyawa), hukumnya adalah haram dan merupakan suatu tindakan jenayah yang tidak halal bagi seorang manusia melakukannya.

Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Al-Ihya, ketika membezakan antara mencegah kehamilan dan pengguguran kandungan, beliau telah menegaskan bahawa mencegah kehamilan adalah berbeza dengan pengguguran dan pembunuhan, kerana apa yang dikatakan pengguguran dan pembunuhan itu merupakan suatu jenayah terhadap manusia yang sudah wujud. Kewujudan anak itu sendiri adalah bertahap. Tahap pertama, sperma (benih jantan) bersarang dalam rahim, kemudian bercampur dengan benih perempuan, lalu siap untuk menghadapi hidup. Perlakuan merosakkannya merupakan suatu tindakan jenayah yang kejam, apatah lagi jika sperma atau nuthfah ini sudah menjadi segumpal darah dan segumpal daging.

Dalam soal kehormatan manusia ini, Islam tidak berhenti setakat melindungi dan menjaminnya ketika hayatnya sahaja, malah berlanjutan sekalipun nafas manusia itu terhenti (sudah mati), kehormatannya tetap dilindungi, di mana Islam meletakkan fardhu kifayah kepada orang Islam yang hidup untuk menyempurnakan pengurusan jenazahnya dengan cara yang terhormat. Hatta selepas disemadikan digalakkan pula menziarahi pusaranya sebagaimana digalakkan menziarahinya semasa hayatnya.

Jadi aku ingin menasihati pula wanita atau gadis comel atau lelaki kacak atau teruna dara janganlah perbuatan anda boleh mengundang padah sehingga mengandungkan anak luar nikah dan yang lebih menyedihkan lagi mengundang kepada isu pembuangan bayi.

Mari sama2 kita merenung mesej yang ingin disampaikan didalam video dibawah ini. Haiwan yang tidak berakal juga tahu sayangkan anak walaupun bukan anak sendiri, inikan pula manusia yang berakal dan mempunyai ilmu dan didikan yang tinggi. Sungguh memalukan..



p/s : Anak itu merupakan sebuah anugerah dan pemberian daripada Allah. Hargailah pemberian daripada Allah itu dan hindarilah maksiat. Marilah sama2 kita hayati alunan zikir dibawah ini sebagai pedoman dan ikhtibar agar kita tidak terus tersesat ke lembah hina...Allahu Akhbar!!!



Monday, April 26, 2010

RASULULLAH BERTAUBAT 100 KALI SEHARI



TAUBAT adalah kembali daripada melakukan maksiat. Orang yang berdosa itu seolah-olahnya meninggalkan Allah dengan tidak taat kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya. Maka apabila dia meninggalkan maksiat, seolah-olah dia kembali semula kepada Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba, selama (nyawanya) belum sampai pada kerongkong.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah juga bersabda bermaksud: “Barang siapa bertaubat sebelum matahari terbit dari Barat, nescaya Allah menerima taubatnya.” (Hadis riwayat Muslim)Perkara ini disebabkan jika matahari terbit dari Barat maka pintu taubat serta-merta ditutup.

As-Salafu Solihu mengetahui nilai taubat, lalu mereka sentiasa melakukan taubat. Perkara ini kerana orang yang berakal apabila memiliki harta yang banyak, kemudian habis tanpa ada faedah yang kembali kepadanya, tentulah dia berasa sesal.

Begitulah umur bagaikan modul untuk membeli nikmat syurga. Alangkah ruginya umur itu hilang begitu saja tanpa bertaubat.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100kali." (Hadis riwayat Muslim).

Seorang lelaki bertanya kepada Abdullah bin Mas'ud mengenai dosa yang ditanggungnya, adakah boleh bertaubat. Abdullah berpaling daripadanya, kemudian menoleh kembali kepada lelaki itu. Dia melihat kedua-dua mata lelaki itu dengan berlinangan air mata, lalu Abdullah berkata: “Syurga itu ada lapan pintu, semuanya dibuka dan ditutup melainkan pintu taubat kerana di situ ada malaikat yang ditugaskan supaya tidak menutupnya. Maka beramallah, jangan kamu berputus asa.”

Lukman Al-Hakim pula berpesan: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya. (Kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan
katanya: “Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan (kedatangan ajal mati) ku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang yang soleh. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.”


Orang yang telah dimatikan, semuanya berangan-angan untuk dapat hidup sebentar supaya dia dapat bertaubat dan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan, tetapi jauh sekali apa yang mereka inginkan.

Allah memerintahkan supaya kita melakukan taubat seperti firman-Nya bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Dan Allah menjanjikan menerima taubat serta membuka pintu pengharapan seluas-luasnya. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampau (menzalimi) dirinya, janganlah kamu putus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan dosa semuanya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar, ayat 53)

Allah berfirman maksudnya: “Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai(menyintai) orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Daripada ayat di atas, jelas bahawa Allah kasih kepada orang yang melakukan kebaikan. Orang yang baik, maknanya akhlak dan tingkah lakunya baik. Dia akan melakukan yang baik-baik saja. Ini kerana dia sedar hidup ini adalah kesempatan untuk mengumpul kebaikan.

Dengan kebaikan itu, maka turunlah rahmat Allah. Sebaliknya, Allah membenci orang yang berperi laku jahat dan berakhlak buruk. Kederhakaan manusia menyebabkan turunnya kemurkaan dan bala daripada Allah. Alangkah bahagianya jika kita mendapat kasih sayang Allah.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman (bermaksud): “Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu:

Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi orang miskin yang pemurah.

Aku cintakan orang yang rendah hati/diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati.

Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat.


p/s : bagaimana pula dengan anda?? tepuk dada, tanyalah iman...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...